fb fb fb fb fb

Lebih RM2.1 pelaburan, perdagangan dijana sepanjang tiga lawatan Perdana Menteri

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 Mei- Kunjungan ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan berjaya menjana potensi pelaburan dan perdagangan sekurang-kurangnya berjumlah lebih RM2.1 bilion kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau dalam satu hantaran di Facebook menyifatkan lawatan itu secara keseluruhan, berpuas hati dengan hasil lawatan rasmi yang telah membuka lembaran baharu antara Malaysia dengan negara-negara di benua Asia Tengah.

Anwar memulakan kunjungan ke Kyrgyzstan pada 14 Mei, diikuti Kazakhstan dan Uzbekistan.

"Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Uzbekistan telah berjaya mengangkat hubungan dua hala, pelaburan, perdagangan serta kerjasama Malaysia-Uzbekistan ke tahap lebih tinggi dengan potensi eksport sekurang-kurangnya RM710 juta telah termeterai.

"Penghujung kunjungan di Uzbekistan juga menutup tirai lawatan rasmi saya ke tiga negara Asia Tengah, bermula di Kyrgyzstan pada Selasa lalu, disusuli Kazakhstan pada Khamis," kata Anwar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau sempat makan tengah hari bersama-sama Timbalan Perdana Menteri Pertama Uzbekistan, Achilbay Jumaniazovich Ramatov dan pimpinan lain tidak jauh dari Kompleks Kalon Minaret sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Sebelum berangkat ke lapangan terbang, pimpinan Kerajaan Uzbekistan menghadiahkan sepersalinan pakaian tradisi rasmi khusus buat pemimpin tertinggi Bukhara dikenali sebagai ‘Chapan Bukhara’.

"Achilbay dan Penasihat Kepada Presiden Uzbekistan, Muzaffar Komilov kemudian mengiringi saya dan delegasi Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bukhara.

"Saya zahirkan ucapan penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa sepanjang kami berada di Uzbekistan sejak Jumaat lalu. Berat hati untuk melangkah meninggalkan Uzbekistan selepas hubungan erat yang terjalin meskipun hanya dalam tempoh singkat," tambah beliau lagi.

Anwar juga amat menghargai hubungan persahabatan yang telah terjalin dengan Presiden Shavkat.

"Terima kasih atas keikhlasan yang dihulurkan sepanjang pertemuan dan perbincangan kami," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI