fb fb fb fb fb

Sasaran 40 peratus kadar kitar semula menjelang 2025

Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman

KANGAR, 20 Mei- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berusaha untuk meningkatkan kadar kitar semula kebangsaan kepada 40 peratus pada tahun 2025 bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Usaha itu bagi mencapai sasaran ke arah pengurangan penjanaan sifar sisa terus ke tapak pelupusan menerusi penerapan amalan 3R iaitu guna semula, mengurangkan pembaziran dan kitar semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, pendekatan itu bagi memupuk kesedaran mengenai kebersihan dan kelestarian alam sekitar serta pengamalan 3R.

Antara usaha-usaha yang dilakukan termasuk Program Bank Kitar Semula di Sekolah dan Tadika dengan pengumpulan barangan kitar semula lebih 336,000 kilogram dengan nilai mencecah lebih RM97,000.

Selain itu, Pelaksanaan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu di Kangar berjaya mengumpul sebanyak 116,437 kilogram barangan kitar semula bernilai hampir RM120,000 manakala Pusat Kitar Semula Pandu Lalu di Arau mengumpul kira-kira 40,514 kilogram barangan kitar semula bernilai RM45,779.

"Macam tahun lepas kita telah capai 35.38 peratus. Jadi sasaran tahun ini adalah sebanyak 37.5 peratus. Dari segi data-data yang telah kita kutip sehingga kini nampaknya sasaran untuk tahun ini dan tahun depan kita yakin akan capai lebih 40 peratus.

"Berdasarkan program-program kesedaran dan sebagainya, macam kita ada DTRC, sebab kita ada sebanyak 86 DTRC bawah tujuh negeri yang mengguna pakai Akta 672. Alhamdulillah program DTRC dan KOSIS turut menyumbang kadar kitar semula ini," katanya ketika merasmikan Pelancaran Program Kemampanan Komuniti Bandar: Karnival Komuniti PPR@ PPR Seri Sena, di sini.

Pelaksanaan Inisiatif Pusat Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) di PPR Seri Sena mula beroperasi pada 20 Mac 2020 dengan penglibatan 156 unit atau 33 peratus premis berpenghuni.

Berdasarkan rekod dari tahun 2020 hingga Disember 2023, sebanyak 6,270.19 kilogram barang kitar semula dan 301.7 kilogram minyak masak terpakai telah direkodkan dengan nilai jualan sejumlah RM2,725 sepanjang tempoh pelaksanaan program itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI