KUCHING, 20 Mei- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan memberi kebenaran kepada bas ekspres yang lulus pemeriksaan semasa praoperasi Hari Gawai untuk beroperasi.
Penolong Pegawai Penguakuasa JPJ Sarawak Zolkipli Kawi berkata, operasi berkenaan akan bermula pada 23 hingga 25 Mei ini, melibatkan pemeriksaan teknikal bas ekspres di lima depoh seluruh negeri itu.
"Anggota penguatkuasa JPJ akan berada di 44 lokasi bertugas dan 53 kawasan kerap kemalangan di jalan persekutuan dan jalan negeri sepanjang pelaksanaan operasi tersebut.
"JPJ juga katanya berusaha untuk mencapai 50 hingga 75 peratus kebolehlihatan dan keberadaan anggota penguatkuasa di jalan raya bagi meningkatkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan dalam kalangan pengguna jalan," katanya semasa temu bual dengan SARAWAKfm.
Dalam pada itu, berkenaan pemeriksaan teknikal bas, ia akan dilakukan Bahagian Kejuruteraan Automotif jabatan berkenaan.
Pemeriksaan itu bagi memastikan aspek penggunaan tayar yang mematuhi piawaian ditetapkan selain sistem brek, lampu utama, lampu isyarat, lampu brek dan lampu malam berfungsi dengan baik.
Pada masa sama memastikan sistem GPS yang dipasang di setiap bas adalah aktif dan boleh dipantau ke atas syarikat bas dan pemandu.
Ops Hari Gawai Dayak 2024 kali ini dibahagikan kepada dua iaitu operasi melibatkan penguatkuasaan di terminal bas dan penguatkuasaan di jalan raya.
Penguatkuasaan di terminal bas akan bermula pada 25 Mei hingga 9 Jun manakala penguatkuasaan di jalan raya akan bermula pada 30 Mei hingga 7 Jun.
Penyamaran oleh anggota JPJ juga akan dilakukan di dalam bas bagi memastikan pemandu bas mematuhi undang-undang selain melaksanakan Ops Khas Motosikal dan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan di tiga terminal utama bas di Kuching, Sibu dan Miri.