fb fb fb fb fb

Kecerdasan buatan: Perlukan kolaborasi pelbagai pihak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 26 September- Penglibatan sektor swasta dalam sistem pendidikan awam termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh dilaksanakan melalui Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) yang dilaksana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu penting dalam usaha pembangunan bakat, selari dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Iskandar Puteri, Johor.

Kolaborasi antara pelbagai pihak termasuk bank, Khazanah dan konglomerat juga amat penting untuk memenuhi keperluan masa hadapan negara.

"Kita tidak boleh meneruskan dengan silibus TVET yang sebelum ini. Langkah terbaik adalah sektor swasta seperti Sunway seharusnya boleh menggunakan kemudahan TVET di sekitar penubuhan di sini dan sudah tentu di Tambun, jangan lupa Tambun yang sama pentingnya dengan Iskandar", ujar Datuk Seri Anwar.

Dalam masa sama, beliau memuji usaha pembangunan Fakulti Kecerdasan Buatan yang dijalankan di UTM Johor Bahru, yang hanya mengambil masa selama empat bulan untuk direalisasikan.

Pencapaian itu jauh lebih baik berbanding usaha membangunkan AI di Abu Dhabi yang memakan masa lebih panjang untuk disiapkan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Invest Malaysia di Iskandar Puteri, Johor.

ROSLINA BINTI DIN