fb fb fb fb fb

Gajah 'tunggal' ancam keselamatan penduduk

Najis gajah ditemui di kawasan kebun di Kampung Serian, Gua Musang, Kelantan

GUA MUSANG, 26 September- Seramai lebih 1,000 penduduk di Kampung Serian di sini hidup dalam ketakutan apabila seekor gajah liar dikesan berkeliaran di kawasan penempatan dan kebun mereka sejak dua minggu lalu.

Kehadiran gajah jantan itu mengganggu rutin harian pekebun dan penoreh getah yang kini terpaksa mengehadkan waktu di kebun kerana bimbang keselamatan diri.

Pekebun melaporkan banyak kesan najis dan tapak kaki gajah ditemui di kawasan kebun mereka, membuktikan haiwan liar itu masih berada di sekitar terbabit.

Seorang pekebun Muhamad Rofi Ismail berkata penduduk kini lebih berhati-hati dan pergi ke kebun hanya pada waktu siang secara berkumpulan.

"Gajah itu memasuki kebun menyebabkan penduduk kini takut untuk ke kebun lewat. Dahulu, mereka biasa ke kebun seawal 4.00 pagi atau selepas solat Subuh, dan akan pulang sebentar untuk solat sebelum kembali. Namun kini, mereka hanya berani masuk ketika hari sudah terang, sekitar 7.00 pagi selepas sarapan.

"Mereka juga tidak lagi pergi seorang diri, tetapi dalam kumpulan. Apabila menemui kesan tapak kaki gajah, ketakutan semakin meningkat.

"Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) telah datang untuk meninjau, namun masih belum berjaya menemui gajah tersebut. Baru-baru ini, haiwan itu semakin mendekati kampung, hampir ke kawasan rumah penduduk," katanya.

Penoreh getah Azaham Mat Raji turut meluahkan kebimbangan penduduk yang berasa terancam dengan kehadiran gajah jantan berkenaan.

"Penduduk kampung berasa cemas kerana banyak kerja perlu dilakukan di sini. Kasihan kepada mereka yang terjejas. Hanya kami yang pergi memeriksa keadaan. Gajah jantan itu besar dan mempunyai gading," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan kerana penduduk bukan sahaja menanggung kerugian, malah menghadapi ancaman keselamatan.

"Kita perlu utamakan keselamatan, dan jika mahu ke kebun, pastikan kita pergi secara berkumpulan. Jangan keluar bersendirian kerana ini boleh meningkatkan risiko serangan gajah. Saya juga berharap kita lebih peka serta prihatin terhadap keadaan jiran-jiran kita. Saya menggesa pihak Perhilitan untuk segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Mohd. Azmawi berkata, selain Kampung Serian, kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap serta Pos Pasik turut menghadapi ancaman gajah liar.

SITI AISHAH MD ISA