fb fb fb fb fb

Tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan pencemaran sungai

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar

JOHOR BAHRU, 26 September- Polis Johor memberi jaminan dan amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran sungai di Johor. 

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata ia susulan kes pencemaran sungai yang berlaku baru-baru ini terutama melibatkan pembuangan sisa kilang di lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, 4 September lalu.

"Jadi tindakan ini adalah mesej kepada semua bahawa pihak Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan tegas dan pelaku jenayah terhadap elemen pencemaran sungai akan berdepan dengan akta ini", katanya.

Perbuatan di lombong tersebut telah mengakibatkan kawasan sungai dan loji berdekatan mengalami pencemaran, selain menyebabkan 38 penduduk setempat mengalami simptom pedih mata, muntah, cirit-birit dan lain-lain.

Beliau juga menjelaskan, pihaknya masih menjalankan siasatan dan mengesahkan kejadian pencemaran di Johor Bahru tidak berkait dengan kejadian pencemaran di Kota Tinggi. 

Datuk M. Kumar ditemui semasa sidang media Ops Cemar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru, Johor. 

Pagi tadi, seorang pengarah dan pemegang saham sebuah kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan bersubahat menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air di Bandar Tenggara pada 4 September lalu.

Dalam pertuduhan berasingan R Navaraj, K Prasanth dan K Jaya Kumar pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama didakwa melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air, manakala empat lagi yang ditangkap dibebaskan dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebagai saksi pendakwaan.

ROSLINA BINTI DIN