fb fb fb fb fb

Pengisytiharan harta anggota pentadbiran dikuatkuasakan semula

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 6 Julai -Kerajaan bersetuju pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dikuatkuasakan semula setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ini ditambah baik.

Ketetapan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri hari ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM), ekosistem tata kelola baik negara akan diperkukuh melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) sebagai
panduan sektor awam berhubung pelaksanaan prinsip-prinsip tadbir urus baik.

Selain itu, kerajaan juga turut bersetuju Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri bermula dengan LKAN tahun 2022 berdasarkan format baharu yang lebih berstruktur.

Katanya langkah itu dibuat agar isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan.

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut turut bersetuju agar peranan JKKMAR diperkasa dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang akan dijadikan platform bagi menggalakkan amalan prinsip tata kelola baik.

"JKKTN juga akan diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan Badan Berkanun termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan Kerajaan.

Mesyuarat pada hari ini turut membincangkan status pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta hala tuju pemerkasaan inisiatif-inisiatif antirasuah selaras dengan Perkara 5 dalam United Nations Convention Against Corruption (UNCAC).

"Sehubungan itu, kerajaan bersetuju meneruskan kesinambungan NACP dengan satu strategi baharu di peringkat nasional dikenali sebagai Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS)" menurut kenyatan itu lagi.

Kerajaan katanya turut memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran Kerajaan.

"Sehubungan itu, satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalahguna bagi
tujuan kepentingan peribadi.

Selain itu kerajaan turut bersetuju dengan cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] bagi memastikan saluran aduan yang lebih diyakini dan berkesan.

"Kerajaan komited untuk melaksanakan agenda pemerkasaan tata kelola sebaik mungkin bagi menyokong pembangunan negara dan memastikan setiap usaha Kerajaan adalah bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa", katanya.




(FOTO RTM)

Media Baharu