KUCHING, 27 September - Sarawak kini telah memenuhi kelayakan untuk diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp), khususnya melibatkan kawasan Bau dan Serian dengan Siniawan sebagai tumpuan utama.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, pengiktirafan itu bakal meletakkan Kuching dalam rangkaian geopark dunia sekali gus melonjakkan kedudukan Sarawak di peta pelancongan antarabangsa.
"UNESCO Geopark, insya-Allah tidak lama lagi kita akan diiktiraf kerana secara umumnya semua kelayakan telah dipenuhi. Kini hanya menunggu pengisytiharan rasmi bahawa Kuching adalah UNESCO Geopark. Daripada sudut negara, kita sebenarnya sudah pun berstatus Geopark,” katanya ketika merasmikan Siniawan Waterfront sempena Festival Muzik Country Siniawan 2025, sambutan 185 tahun Bandar Siniawan dan ulang tahun ke-15 Pasar Malam Siniawan.
Tan Sri Abang Johari berkata, Siniawan memiliki keistimewaan setanding Pulau Jeju di Korea Selatan, dengan keunikan gua angin, sejarah Sungai Sarawak yang pernah dilalui James Brooke, serta penganjuran festival muzik country terbesar di Asia yang boleh menjadi tarikan geopark dunia.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Serembu, Miro Simuh, berkata jalan lama Kuching–Bau akan dinaik taraf kepada empat lorong, dengan reka bentuk telah dihantar kepada perunding untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, projek Siniawan Waterfront bernilai RM10.8 juta yang siap awal September lalu akan menjadi pemangkin utama pembangunan kawasan tersebut. Fasa kedua bernilai RM4 juta pula dijangka bermula tahun hadapan, diikuti projek baharu tempat letak kereta bernilai RM28 juta.
Menerusi usaha berterusan itu, Sarawak optimis Siniawan dan kawasan sekitarnya akan menjadi ikon pelancongan bertaraf dunia, sekali gus melonjakkan peluang ekonomi masyarakat tempatan.