fb fb fb fb fb

Pengiktirafan MSPO buka lembaran baharu hubungan Malaysia-UK

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 5 Jun- Pengiktirafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh United Kingdom (UK) kepada Malaysia bakal membuka lembaran baharu kepada hubungan dagang antara kedua-dua negara.

Penganalisis Ekonomi, Dr Zokhri Idris berpandangan, kesediaan Kesatuan Eropah (EU) berunding dengan Malaysia berkenaan MSPO memberi petunjuk yang positif terhadap sektor komoditi negara.

"Ini sebenarnya akan memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada kita khususnya industri penghasilan minyak kelapa sawit tempatan. Pertamanya dalam melihat sejauh mana kepatuhan dan komitmen kita di dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang akan memberi nilai tambah yang lebih banyak sekiranya diimplimentasikan.


(Penganalisis Ekonomi, Dr Zokhri Idris)

"Kedua, ia memberikan perspektif kepada Kesatuan Eropah (EU) untuk lebih memahami kedudukan dan juga untuk industri perladangan dan juga kelapa sawit di negara kita dan memberikan lebih banyak ruang untuk kita menerokai pengeksportan minyak kelapa sawit di Kesatuan Eropah ", katanya kepada RTM.

Keyakinan serupa turut disuarakan Penganalisis Ekonomi UUM, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.

"Kalau kita tengok perdagangan dua hala antara Malaysia dengan United Kingdom ini pun sudah mencecah sekitar AS$7.3 bilion. Jadi prospek ini, saya fikir hasil daripada keputusan ini, ia dijangka akan meningkatkan lagi dari segi momentum dan juga dari segi aksesibiliti dan juga volum sektor eksport pemain-pemain eksport di Malaysia ke UK di masa hadapan", katanya kepada RTM.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan misi minyak sawit ke UK berjaya berikutan penggubal dasar di London telah memberikan komitmen untuk mengiktiraf MSPO dalam garis panduan terperinci bagi memastikan komoditi yang memasuki negara adalah mampan.

Media Baharu