PUTRAJAYA, 21 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penghargaan luar biasa kepada rakyat dijangka diumumkan pada esok atau Rabu ini.
Beliau berkata sedikit lagi masa diperlukan untuk meneliti pengumuman yang bakal dibuat susulan permukiman Kerajaan Perpaduan di Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.
"Permukiman itu tentang menjelaskan dasar-dasar kerajaan, di samping itu juga mendengar pandangan dan keluhan masyarakat, yang kemudian menuntut saya untuk memikirkan perubahan-perubahan dan pengumuman yang perlu untuk meredakan tuntutan ini.
"Saya katakan dalam sehari dua ini saya perlu umum (sama ada dalam bentuk langkah tambahan atau sebagainya), tetapi perkara itu memerlukan sedikit masa untuk diteliti," kata Perdana Menteri pada perjumpaan bulanan JPM,hari ini.
Pada 19 Julai lepas di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Datuk Seri Anwar memberikan bayangan bahawa penghargaan luar biasa yang akan diumumkan melibatkan langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup yang semakin membebankan. - BERNAMA