KUALA LUMPUR, 21 Julai - Kerajaan akan memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi manfaat dan tidak membebankan rakyat.
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, perkara itu turut ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi pemukiman ahli-ahli Parlimen semalam, yang menekankan keutamaan kerajaan dalam memastikan impak positif dasar sampai kepada majoriti rakyat.
Beliau berkata antara dasar yang sedang diperhalusi ialah penyasaran semula subsidi bahan api RON95, yang dijangka dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini, namun kini masih dalam fasa kajian menyeluruh.
"Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau tidak mahu pelaksanaan dasar yang memberi kesan negatif kepada majoriti rakyat.
"Selepas pelaksanaan beberapa dasar sebelum ini seperti penyasaran semula subsidi diesel dan inisiatif lain, kita dapati perlunya penelitian terhadap mekanisme penyaluran supaya tiada kesan berantai yang membebankan," katanya.
Datuk Fahmi turut menjelaskan beberapa penyesuaian telah dibuat dalam pelaksanaan dasar seperti peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Program Pemukiman Kepimpinan Kerajaan MADANI yang diadakan semalam merupakan platform untuk memperkukuh jaringan antara pimpinan kerajaan dan rakyat .