fb fb fb fb fb

Dasar, akta khusus berkaitan AI perlu digubal, elak disalah guna

Pakar Transformasi Digital, Zahari Ghani

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin mendapat tempat dalam kehidupan seharian perlu disusuli dengan garis panduan, serta penguatkuasaan undang-undang yang jelas agar tidak disalah guna sehingga mengancam keselamatan sosial negara.

Pakar Transformasi Digital, Zahari Ghani berkata, penggunaan AI secara terbuka tanpa kawalan dan kesedaran etika boleh menjurus kepada pelbagai risiko, termasuk peningkatan kes jenayah siber yang lebih sukar dikesan.

"AI ini tidak mempunyai moral. Ia hanya mematuhi arahan, sama ada untuk melakukan perkara baik atau buruk. Ini menjadikannya alat yang sangat berisiko jika digunakan tanpa tanggungjawab," tegas beliau selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Tambah Zahari, penjenayah siber kini semakin licik apabila menggunakan teknologi AI untuk menghasilkan kandungan palsu seperti imej, teks atau video bagi tujuan penipuan dalam talian. Perkara ini mewujudkan cabaran baharu kepada pihak berkuasa untuk mengesan dan mengesahkan kesahihan maklumat yang tersebar.

Atas faktor ini, beliau mencadangkan kerajaan segera menggubal dasar dan akta khusus berkaitan AI memandangkan kerangka undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Akta Jenayah Komputer belum cukup untuk menangani isu berkaitan AI secara menyeluruh.

"Buat masa ini, penggunaan AI masih berada dalam zon kelabu dari segi perundangan. Kerajaan perlu tampil dengan akta khusus agar AI digunakan secara bertanggungjawab dan terkawal,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan pentingnya kesedaran digital dalam kalangan warga emas, susulan kes di Kuala Lipis di mana sepasang warga emas mengalami kerugian ribuan ringgit selepas tertipu dengan video palsu yang memaparkan perkhidmatan kereta kabel kononnya berada di kawasan itu.

"Golongan emas perlu lebih berhati-hati. Jika menerima mesej, video atau imej mencurigakan, rujuklah dahulu kepada anak-anak atau ahli keluarga sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya.

Zahari turut menyeru agar pendidikan literasi digital diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat supaya teknologi AI dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.

MASNIZA AWANG KECHIK