KUALA LUMPUR, 21 Julai – Seramai 2.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk MyDigital ID setakat suku kedua, berbanding 1.8 juta pada suku pertama 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, peningkatan itu didorong oleh kes pengguna baharu yang semakin meluas termasuk di portal MyGOV, aplikasi MyJPJ serta proses pengesahan identiti bagi pemilik kad SIM prabayar.
Katanya, permintaan terhadap pengesahan identiti digital semakin meningkat sejajar pelaksanaan aplikasi digital kerajaan dan bukan kerajaan.
"Ini kerana setiap kes penggunaan baharu mewujudkan keperluan pengesahan identiti digital, sekali gus mendorong peningkatan pendaftaran dalam kalangan rakyat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengenai perkembangan pelaksanaan inisiatif MyDigital ID.
Menurut Dr. Zaliha, sehingga kini sebanyak 35 sistem aplikasi kerajaan telah diintegrasikan dengan MyDigital ID, manakala 17 lagi dalam proses pelaksanaan dan 21 sedang melalui peringkat perbincangan.
Tambah beliau, tujuh sistem aplikasi bukan kerajaan turut diintegrasikan menjadikan keseluruhan 82 sistem yang terlibat setakat ini.