fb fb fb fb fb

Pekerja kedai makan maut, motosikal langgar anjing

Foto RTM

KUANTAN, 21 Julai - Seorang wanita maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang mereka naiki melanggar seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Kuantan–Maran, berhampiran Pondok Polis Paya Bungor, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Che Zaiton Ahmad, 54, yang bekerja di sebuah kedai makan, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Pembonceng motosikal, Norizura Rohani, 41, seorang suri rumah, pula mengalami beberapa kecederaan dan kini menerima rawatan lanjut di hospital.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua wanita itu dalam perjalanan dari Temerloh menuju ke Felda Lepar Hilir sebelum terbabas selepas melanggar anjing berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian telah dijalankan manakala motosikal terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi membantu siasatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD