fb fb fb fb fb

Penghantaran kedua bantuan kemanusiaan untuk Gaza selamat berlepas

Pelepasan bantuan kemanusiaan Ops Ihsan di KLIA malam tadi

SEPANG, 11 November- Penghantaran bantuan kemanusiaan kedua Malaysia ke Palestin melibatkan pelbagai barangan keperluan seberat 20 tan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir menerusi penerbangan khas malam tadi.

Pesawat kargo itu berlepas pukul 11.00 malam dari Terminal Kargo Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan pengurusan bantuan tersebut akan diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama bagi misi kemanusiaan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyaksikan pelepasan berkenaan berkata, bantuan kemanusiaan Ops Ihsan terbabit adalah bukti keprihatinan rakyat Malaysia.

"Inilah kelebihan kita di Malaysia, bila berlaku saja bencana, bukan saja dalam negara tetapi juga di luar negara, keprihatinan rakyat Malaysia inilah yang sebenarnya mengukuhkan semangat kesukarelaan semangat untuk memberi sumbangan dan rasa simpati kita.

"Sebagai mewakili kerajaan Malaysia saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua (rakyat Malaysia). Kita doakan perjalananan menghantar misi ini dipermudahkan, selamat sampai," katanya di sini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Haji Alamin, Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali serta Duta Mesir ke Malaysia Ragai Tawfik Said Nasr turut hadir pada pelepasan bantuan berkenaan.

Sementara itu, barangan bantuan kemanusiaan pertama yang berlepas minggu lalu telah pun selamat sampai di Al-Arish, Mesir dan kini sedang menunggu giliran untuk melintas laluan Rafah sebelum proses pengagihan kepada penduduk Gaza.

ARTIKEL BERKAITAN:
Malaysia sedia hantar lebih banyak sarung tangan getah ke Gaza
Bantuan rakyat Malaysia untuk Gaza tiba di Mesir

SITI AISHAH BINTI MD ISA