fb fb fb fb fb

Bantuan rakyat Malaysia untuk Gaza tiba di Mesir

Pesawat kargo 9M-WCA

MESIR 5 November- Pesawat kargo 9M-WCA yang membawa bantuan kemanusiaan awal peringkat pertama sumbangan Malaysia ke Palestin menerusi Ops Ihsan telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Tentera El-Arish, di sini.

Pesawat yang disewa khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan tiba kira-kira pukul 8.50 pagi semalam waktu tempatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sekiranya tiada apa-apa halangan, semua barangan bantuan dari Malaysia itu akan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza dengan segera.

Bantuan berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi dan makanan itu telah diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah.

Sebaik bantuan tersebut melepasi sempadan Rafah, ia akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di sempadan Nitzana untuk diagihkan.

Penerbangan penghantaran kedua sebanyak 20 tan barangan bantuan dijadualkan pada 10 November.

Ops Ihsan adalah inisiatif yang dilancarkan Kementerian Luar bersama 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Aman Palestin, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan juga Malaysian Relief Agency (MRA).

SITI AISHAH BINTI MD ISA