SEPANG, 11 Januari- Penggunaan sistem kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyBorderPass akan diperluas kepada pengembara ASEAN bagi proses keluar dari Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kelancaran proses keluar masuk di pintu utama negara.
"Sebagai Pengerusi ASEAN, tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah memastikan pintu masuk tiada gangguan. Kami tidak mahu sebarang kelewatan. Tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada hampir 400 mesyuarat peringkat pegawai kanan dan menteri.
"Untuk proses masuk, mereka guna sistem yang biasa, tetapi proses keluar, kita benarkan mereka gunakan laluan untuk kod QR," katanya kepada media selepas menghadiri sesi tinjauan Gate Kod QR MyBorderPass dan Sistem Smart Q Bersama Media di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata pada masa ini penggunaan sistem kod QR hanya boleh digunakan rakyat Malaysia bagi urusan keluar masuk negara di KLIA Terminal 1 dan 2.
Setakat ini, sebanyak 40 unit autogate kod QR dipasang membabitkan 20 unit di KLIA Terminal 1 dan 20 di KLIA Terminal 2 untuk ketibaan dan pelepasan dengan kos keseluruhan pemasangan ialah RM19.2 juta.
"Hingga kini, 400,000 rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi MyBorderPass bagi memudahkan penggunaan sistem pelepasan kod QR itu.
"Pengguna hanya perlu log masuk, dan sistem ini membolehkan pelepasan dilakukan dalam masa 60 saat (secara purata empat saat)," katanya dan menambah pasport masih perlu dibawa bersama, namun tiada proses cap secara fizikal akan dibuat kerana maklumat disimpan secara elektronik.
Beliau berkata jumlah penggunaan keseluruhan yang direkodkan setakat ini ialah 55,000 pengguna dalam tempoh 11 hari sejak dilancarkan 1 Januari lepas.
Saifuddin berkata sistem kod QR itu dirancang diperluas ke lapangan terbang antarabangsa utama yang lain seperti di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Langkawi.
Berkongsi pengalamannya menggunakan sistem kod QR itu, Saifuddin Nasution berkata tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa sepantas empat saat berbanding 15 hinga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.
Beliau mengguna pakai sistem kod QR itu sebelum berlepas ke Abu Dhabi pagi ini, bagi menyertai lawatan rasmi bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, pengguna sistem berkenaan meluahkan kepuasan mereka terhadap kemudahan baharu itu yang ternyata mempercepatkan proses pelepasan imigresen dan meningkatkan kelancaran perjalanan.
Antara pengguna, Syafiqah Saarani, menyifatkan langkah permohonan sistem MyBorderPass sebagai mudah, lancar, dan cepat.
KC Tan pula berkata, "Muat turun sangat mudah, cuma perlu imbas pasport dan wajah. Sangat pantas dan selesa, lebih baik daripada menggunakan pasport."
Dayang Khadiza turut memuji sistem tersebut, "Sangat senang dan mudah, tidak perlu melalui proses pasport, hanya QR sahaja. Jadi, muat turunlah sekarang."
Badruzzaman Abdul Rahim menyatakan, "Sistem ini lebih pantas dan mudah."