
KUALA LUMPUR, 23 Jun — Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baharu bermula 1 Julai ini menerima reaksi positif daripada pengguna.
- Pemandu dan peniaga menghargai subsidi diesel kerana membantu mengurangkan kos pengisian dan kos operasi perniagaan.
- Pemilik pikap dan jip layak memohon tambahan kuota 100 liter sebulan, menjadikan kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
- Setiap individu layak menerima had asas 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel untuk diesel atau RON95 bersubsidi.
Pemandu lori, Shahrom Riduan Othman berkata harga diesel bersubsidi membolehkan beliau menjimatkan kos pengisian bahan api yang sebelum ini mencecah antara RM300 hingga RM400 bagi setiap tangki.
“Sebelum ini saya isi satu tangki lori sekitar RM300 hingga RM400. Kalau harga diesel RM2.10 seliter, memang berbaloi dan dapat menjimatkan kos pengisian bahan api,” katanya.
Seorang peniaga makanan pula berkata subsidi berkenaan membantu mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung peniaga kecil.
“Dengan adanya subsidi ini ia lebih baik dan dapat meringankan saya serta pengguna diesel lain seperti peniaga makanan,” katanya.
Bagi Imran Aziz, pelaksanaan BUDI Diesel membantu mengurangkan kos perjalanan yang perlu ditanggung bagi menjalankan perniagaan.
“Saya bersyukur kerana ada BUDI Diesel. Harga jadi lebih murah dan dapat membantu saya yang berniaga jauh hingga ke Kuala Selangor,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Nur Zaimul Umam Mohd Rizal berkata bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban pengguna diesel.
“Memang ia membantu mengurangkan beban yang kami tanggung sebelum ini,” katanya.
Bermula 1 Julai, penambahan kuota sebanyak 100 liter untuk pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.
Tambahan 100 liter sebulan itu akan menjadikan jumlah kelayakan subsidi diesel sehingga 300 liter sebulan bagi kategori terbabit.
Sebagai persediaan sebelum pelaksanaan penuh pada 1 Julai, akses awal BUDI Diesel akan dibuka mulai 27 Jun (Sabtu) kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.
Di bawah mekanisme itu, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel mengikut keperluan sebenar bagi pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.
Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.