KKR teliti naik had kontrak G1 kepada RM300,000

Datuk Seri Nanta berkata cadangan dibuat susulan peningkatan kos operasi dan harga bahan binaan

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti semula had nilai kontrak RM200,000 bagi kontraktor Gred 1 (G1), termasuk cadangan menaikkannya kepada RM300,000 susulan peningkatan kos operasi dan harga bahan binaan ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kontraktor G1 memohon kenaikan had nilai kontrak kerana kos operasi meningkat dan margin keuntungan semakin mengecil.
  • Rayuan PERKOBF akan dibincangkan bersama CIDB dan dibawa ke peringkat lebih tinggi selepas perbincangan dalaman KKR.
  • KKR mengkaji semula pelaksanaan kenaikan gred automatik G1 ke G2 sejak 2019, dengan keputusan memerlukan pertimbangan Kementerian Kewangan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti kontraktor G1 yang berdepan peningkatan kos serta margin keuntungan yang semakin mengecil.

“Memang betul, keadaan ekonomi dan industri pembinaan ketika ini sangat mencabar dengan peningkatan kos yang berterusan. Justeru, kontraktor kelas F memohon agar had nilai kontrak sedia ada RM200,000 dinaikkan kepada RM300,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Menurutnya, rayuan yang dikemukakan PERKOBF akan dibincangkan bersama pihak berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk pertimbangan lanjut.

“Kami mendengar segala keluhan dan cadangan yang dikemukakan. Perkara itu tidak akan dipandang ringan dan kami akan mengadakan perbincangan di peringkat dalaman terlebih dahulu sebelum membawanya kepada pihak berkaitan untuk pertimbangan lanjut kerana ia melibatkan soal dasar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Alexander berkata KKR turut bercadang mengkaji semula pelaksanaan kenaikan gred automatik kontraktor G1 kepada Gred 2 (G2) yang diluluskan sejak 2019.

Katanya, kebanyakan kontraktor G1 merayu supaya pelaksanaan itu ditangguhkan kerana memberi implikasi terhadap keperluan modal serta persaingan bagi mendapatkan projek.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang keputusan berkaitan perkara itu memerlukan pertimbangan Kementerian Kewangan dan bukan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa KKR.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.