fb fb fb fb fb

Penggiat seni perlu berhemah guna AI, jangan korbankan nilai kemanusiaan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Pelancaran TAR UMT FCCI Film Festival 2025 – Alkisah: The Wonders of Asian Folklore di Universiti Tunku Abdul Rahman / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 September- Penggiat seni diseru memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan berhemah tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan yang menjadi teras sesebuah karya filem.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, perkembangan AI generatif dalam bidang animasi dan perfileman perlu diterima dengan berhati-hati supaya tidak menenggelamkan peranan pencerita sebenar.

“Sifat manusia sebagai penglipurlara dan pencerita tidak akan mampu diganti oleh teknologi kerana kisah yang dibawa adalah cerminan budaya dan pengalaman hidup masyarakat,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran TAR UMT FCCI Film Festival 2025 – Alkisah: The Wonders of Asian Folklore di Universiti Tunku Abdul Rahman, hari ini.

Menurut beliau, tema Alkisah yang dipilih bagi festival kali ini juga membawa makna mendalam.

“Alkisah bukan AI. Alkisah ialah kisah kita. Di universiti, kita ada ruang untuk membincangkan, berdebat, bertukar pandangan, dan mencabar pemahaman semasa.

Saya berharap melalui festival ini, wacana dan dialog sebegini dapat berlaku,” jelasnya.

Selain itu, katanya, AI boleh dimanfaatkan sebagai alat sokongan, misalnya untuk menghasilkan papan cerita atau penyesuaian skrip.

Bagaimanapun, karya kreatif yang memberi makna sebenar tetap datang daripada imaginasi dan daya fikir manusia.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN