fb fb fb fb fb

Labuan berpotensi jadi hab serantau Borneo

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim membacakan teks ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Borneo Flora Festival 2025 di Desa Tunas Hijau Sungai Miri, Labuan.

LABUAN, 11 September - Labuan perlu dilihat sebagai pusat tumpuan serantau yang berhubung rapat dengan seluruh Borneo, sekali gus berperanan sebagai pintu masuk perdagangan, pelancongan, budaya dan kerjasama rentas negara.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kedudukan strategik Labuan di tengah-tengah kepulauan Borneo meletakkannya dalam ekosistem serantau.

Katanya, lokasi Labuan di laluan maritim antarabangsa menjadikan ia destinasi persinggahan utama, pusat logistik serta hab penganjuran acara antarabangsa.

“Bagaimanapun, Labuan berdepan cabaran dari segi skala pasaran dan kebergantungan kepada industri tertentu, termasuk kapasiti penginapan pelancongan yang terhad serta jaringan pengangkutan yang perlu diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan pelabur, pemerkasaan usahawan tempatan dan pelaksanaan model perkongsian awam-swasta perlu diberi keutamaan untuk mengatasi cabaran berkenaan, khususnya bagi meningkatkan kapasiti penginapan serta memperkukuh jaringan pengangkutan.
 
Sehubungan itu, katanya, Pelan Tindakan Pelancongan Wilayah Persekutuan Labuan perlu dilaksanakan dengan berkesan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, membuka peluang pekerjaan dan perniagaan serta mengangkat martabat masyarakat setempat.
 
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Borneo Flora Festival (BFF) 2025 di Desa Tunas Hijau Sungai Miri, Labuan, semalam.

Majlis anjuran bersama pelbagai agensi kerajaan itu diadakan sebagai penghargaan kepada jabatan, agensi, sektor swasta, pemimpin masyarakat dan NGO yang terlibat menjayakan penganjuran BFF 2025 yang berlangsung Julai lalu.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI