TERENGGANU, 11 September – Universiti Malaya (UM) melangkah ke dimensi baharu dalam pembangunan kepimpinan apabila seramai 22 pemimpin tertinggi universiti menyertai sebuah program berkonsepkan selaman sedalam 20 meter di Pulau Bidong, yang menjadikan pengalaman alam semula jadi sebagai ruang pembelajaran dan transformasi kepimpinan.
Menerusi kenyataan UM, program bertemakan "UM Menelusuri Cabaran: Selaman Bersama", berlangsung dari 4 hingga 7 September di Stesen Alami Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Program tersebut bukan sekadar ekspedisi menyelam, sebaliknya menjadi metafora kepada keberanian keluar daripada zon selesa, kesediaan menghadapi cabaran baharu, serta pengukuhan ketahanan mental dan fizikal dalam kepimpinan, khususnya dalam mendepani arus perubahan masa depan.
Program tersebut turut membuka ruang kepada interaksi santai antara pengurusan tertinggi, dekan dan pengarah, sekali gus mempererat hubungan dan memperkukuh komunikasi antara mereka.
Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, menyifatkan program itu sebagai simbol perjalanan dalaman seorang pemimpin.
"Apabila kita menyelam, kita tidak hanya melihat keindahan dasar laut. Kita belajar erti tanggungjawab terhadap diri sendiri, pasukan, dan alam. Dalam dunia yang sunyi tanpa suara, kita mula mendengar dengan lebih jelas suara hati, suara kepimpinan, serta panggilan hati nurani untuk memberikan yang terbaik kepada institusi, negara dan kemanusiaan," katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains UM, Profesor Dr. Saiful Anuar Karsani, berkata bahawa latihan tersebut mengajar peserta tentang erti kerja berpasukan, fokus, dan membina kepercayaan.
“Kepercayaan terhadap rakan sepasukan, terhadap peralatan, dan terhadap latihan yang kita lalui. Ia juga membuktikan dengan pemikiran yang betul, tiada apa yang mustahil. Sentiasa berani, sentiasa tekad, sentiasa berwawasan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Profesor Dr. Zamri Radzi berkata aktiviti itu bukan sekadar sukan atau rekreasi.
"Selaman adalah sebuah perjalanan pertumbuhan diri. Ia menyemai sifat tabah, tenang, disiplin, dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Paling penting, ia mengingatkan kita bahawa hidup adalah tentang keseimbangan dalam memimpin, dan bila untuk dipimpin," katanya.
Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik UM, Profesor Dr. Surinderpal Kaur pula melihat pengalaman terbabit sebagai cabaran peribadi.
“Ia satu cabaran untuk memperbaiki diri, satu cabaran untuk pergi lebih jauh, atau lebih dalam dan bergerak lebih jauh dari kebiasaan,” ujarnya.
Bagi Pendaftar UM, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Raman, pengalaman terbabit memberi kesan luar biasa, selain satu latihan yang sangat hebat.
“Saya tidak pernah terbayang bahawa saya mampu melakukan apa yang saya lakukan,” katanya.