JOHOR BAHRU, 11 Mac- Malaysia menerima pelaburan lebih RM1.02 bilion, hasil daripada persetujuan penggambaran filem di dalam negara setakat tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil memaklumkan, ia susulan pihak produksi terlibat melihat Malaysia mempunyai daya tarikan istimewa untuk penggambaran.
Beliau berkata, setiap penggambaran dijalankan produksi, terutama dari luar negara, akan memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan.
Ia melibatkan kos penginapan, penyediaan makanan, tenaga kerja, serta pelakon tambahan daripada warga tempatan.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)
"Di Iskandar Malaysia Studios, saya dapat lihat sendiri, betapa bagusnya fasiliti yang disediakan, khusus untuk penggambaran, sama ada filem ataupun siri, cereka atau siri, features or siri, dan bagaimana studio tersebut dimanfaatkan oleh syarikat tempatan dan juga syarikat antarabangsa", katanya semasa melawat Pejabat BERNAMA di Jalan Serampang, Johor Bahru.
Semasa lawatan, Fahmi turut meminta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bekerjasama dengan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk menghasilkan satu modul pelaporan Kewartawanan Digital dan Multimedia (MoJo).
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan hak cipta terhadap karya lagu yang dimiliki oleh mana-mana artis dalam negara, perlu dihormati semua pihak.
Katanya, isu tular di media sosial baru-baru ini yang melibatkan seorang ahli politik menggunakan lagu artis tempatan tanpa kebenaran, bagi tujuan politik, boleh dijadikan pengajaran kepada semua.
Pengguna media sosial boleh menggunakan lagu yang bebas daripada hak cipta untuk digunakan dalam video di media sosial bagi mengelakkan isu tersebut.