KUALA LUMPUR, 2 Februari – Hujan turun tanpa henti, menenggelamkan beberapa laluan utama di Bintulu, Sarawak, menjadikan perjalanan darat semakin sukar.
Di saat pelajar lain bersiap sedia menghadapi peperiksaan penting, dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah Tatau terperangkap tanpa jalan keluar, akibat arus deras yang menenggelamkan kawasan sekitar.
Namun, bagi seorang guru, cabaran itu bukan penghalang.
Dengan semangat seorang pendidik, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, Dr. Layang Ugek nekad meredah banjir dan merentasi perjalanan sejauh 60 kilometer.
Ini bagi memastikan dua anak didiknya Watson dan Cynthia, 17 tahun sampai ke sekolah dan dapat menduduki peperiksaan kertas Biologi pada 3 Februari ini.
Cabaran perjalanan itu bukan hanya merentasi jalan yang sukar, tetapi turut melibatkan logistik yang mencabar.
Memetik laporan berita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), bapa Cynthia terpaksa menghantar anaknya menggunakan perahu panjang selama satu jam setengah, sebelum pelajar itu dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Dari situ, Dr. Layang sendiri mengambil alih tanggungjawab untuk membawa dua orang pelajarnya ke sekolah.
Beliau menegaskan bahawa sebagai seorang pendidik, keutamaannya adalah memastikan semua pelajar hadir ke sekolah, terutama bagi menduduki peperiksaan penting seperti SPM.
"Masa depan pelajar amat penting. Itulah sebabnya apa sahaja masalah yang menghalang mereka menduduki SPM, kami akan cuba bantu," katanya
Kisah keprihatinan Dr. Layang ini bukan sekadar tentang usaha membawa pelajarnya ke sekolah, tetapi tanggungjawab seorang guru tidak terhenti di bilik darjah.
Ini satu pengorbanan yang membuktikan bahawa dalam keadaan apa pun, pendidikan tetap diutamakan.