KANGAR, 7 September - Masyarakat disaran mempelajari dan mendalami ilmu berkaitan pemulihan pernafasan atau CPR kerana ia boleh menyelamatkan nyawa dengan menyediakan bantuan kecemasan segera kepada mangsa yang mengalami jantung terhenti secara tiba-tiba.
Usaha ini penting bagi memastikan oksigen terus sampai ke otak dan organ-organ penting sebelum bantuan perubatan tiba di lokasi.
Setiausaha Kehormat St John Ambulans Malaysia Negeri Perlis, Syed Amran Syed Omar memaklumkan, kemahiran CPR juga mampu meningkatkan keselamatan keseluruhan, mengurangkan risiko kerosakan otak pada mangsa dan memberi keyakinan kepada orang awam untuk bertindak dalam sesuai situasi kecemasan luar jangka.
''Dalam keadaan semasa, kemahiran CPR perlu dipelajari sekurang-kurangnya seorang bagi setiap keluarga bagi membantu disaat memerlukan atau sebagai bantuan awal pemulihan pernafasan.
''Serangan jantung boleh berlaku pada bila-bila termasuklah ketika bersukan, melaksanakan aktiviti lasak atau berada dalam tekanan yang melampau", katanya.
Beliau memaklumkan pada Taklimat dan Latihan CPR bersempena Program Brisk Walk di Denai Larian Pengkalan Asam bersama 300 peserta yang hadir di sini, hari ini.
Sebagai langkah awal, St John Ambulans Malaysia Negeri Perlis telah menempatkan AED atau "Automated External Defibrillator" iaitu peranti kecemasan untuk membantu mangsa serangan jantung di beberapa lokasi termasuk Pejabat SUK Perlis, Stesen KTMB Arau dan Terminal Feri Kuala Perlis.