fb fb fb fb fb

Pemimpin asing kagum inisiatif SARA, perkukuh imej positif Malaysia di mata dunia

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 September - Inisiatif Skim Bantuan Asas Rahmah (SARA) telah menarik perhatian dan pujian daripada pemimpin asing yang melihatnya bukan sahaja sebagai langkah kebajikan domestik, tetapi juga sebagai satu bentuk diplomasi bantuan.

Ini sekaligus memperkukuhkan imej positif Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurut Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Azmi Hassan, kejayaan itu membuktikan dengan kepimpinan yang berwibawa serta perancangan yang teliti, sebuah negara kecil masih mampu melaksanakan dasar sosial yang sering dianggap mencabar untuk dilaksanakan.

Usaha berkenaan turut dibandingkan dengan pendekatan serupa yang dilaksanakan di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Di Amerika Syarikat, contohnya, ada sistem seperti SARA yang dipanggil 'food stamps'. Namun, ketika era Donald Trump, perbelanjaannya dikurangkan sehingga ramai rakyat yang memerlukan tidak mendapat bantuan tersebut.

"Di United Kingdom pula, mereka ada skim seumpama SARA, tetapi ia tidak dilaksanakan kerajaan, sebaliknya diuruskan oleh badan kebajikan seperti NGO.

"Inilah yang mengagumkan pemimpin asing, bagaimana sebuah negara kecil seperti kita mampu menggunakan lebihan atau sumber kewangan yang ada untuk membantu golongan memerlukan dalam sesuatu yang dianggap sukar,” katanya kepada Berita RTM.

Beliau turut menyatakan pencapaian ini bukan sahaja hasil daripada kekuatan fiskal, tetapi juga didorong oleh iltizam politik yang kukuh, menjadikan perlindungan sosial kepada rakyat sebagai keutamaan kerajaan.

0709 NSL REAX SARA PEMIMPIN ASINGFelo Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Azmi Hassan

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE