KUALA LUMPUR, 7 September - Peningkatan keupayaan digital perniagaan terutamanya Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan perlu kekal sebagai tumpuan utama bawah Belanjawan 2026.
Ketua Pegawai Operasi, CTOS Data Systems, Lee Shin Mei berkata, persekitaran perniagaan yang semakin mencabar memerlukan PKS untuk lebih berdaya saing dan meningkatkan produktiviti dengan memanfaatkan teknologi seperti automasi dan platform dalam talian.
Fokus terhadap pendigitalan PKS adalah wajar memandangkan kumpulan itu mewakili 98 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini dan enjin penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Bantuan yang diberikan tidak seharusnya terhad kepada geran, malah bantuan seperti akses untuk PKS mengembangkan perniagaan, meningkatkan kemahiran dari aspek pendigitalan, dan sokongan lain untuk membantu pendigitalan.
"Pendigitalan amat penting buat PKS kerana ia mampu mempercepatkan pengembangan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita pada program National CEO Forum 2025, baru-baru ini.
Kerajaan juga boleh meneliti semula dan mempertimbangkan inisiatif pengecualian cukai sebagai usaha mengurangkan beban kos PKS.
Beliau yakin, langkah penyelarasan itu akan turut menggalakkan pematuhan dan meningkatkan ketelusan cukai PKS.