KANGAR, 7 September - Lebih 300 peserta menyertai Program Brisk Walk sekitar Denai Larian Pengkalan Asam sebagai usaha meningkatkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Menurut ADUN Indera Kayangan Gan Ay Ling, program bersempena dengan Program MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu merupakan gabungan Komuniti MADANI Indera Kayangan Utara, Barat dan Selatan.
"Program berjalan cepat dilakukan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan tahap kecergasan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Ia merupakan aktiviti yang sangat rendah risiko kecederaan dan dilaksanakan secara santai sama ada secara individu atau keluarga.
''Pelaksanaan program sebegini bukan sahaja untuk kesihatan malah menjadi medium utama menyatupadukan komuniti serta memperkukuh perpaduan antara masyarakat berbilang kaum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Brisk Walk sejauh 3 kilometer di sini.
Dua program utama lain sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di DUN Indera Kayangan ialah Program Larian Santai dan Dakian Kasih MADANI yang telah dilaksanakan pada 31 Ogos dan 6 September.