PUTRAJAYA, 25 September - Penyedia platform media sosial disaran melaksanakan pengesahan elektronik 'Kenali Pelanggan Anda (eKYC)' menggunakan dokumen rasmi dikeluarkan kerajaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pelaksanaan sistem identiti elektronik itu memastikan identiti pengguna disahkan sepenuhnya, sekali gus menghalang kanak-kanak berusia bawah 13 tahun daripada membuka akaun media sosial sendiri.
Jelasnya, inisiatif verifikasi itu bagi meningkatkan keselamatan pengguna media sosial dan melindungi kanak-kanak daripada risiko jenayah seksual, penipuan dan penjualan produk terlarang dalam talian.
"Kadangkala ada kes-kes dimana anak-anak bawah 13 tahun yang memiliki akaun. Kalau mereka menggunakan akaun ibu bapa itu berbeza tapi ini mereka sendiri memiliki akaun. Jadi ini tidak dibenarkan. Bagi aplikasi seperti WhatsApp, platform-platform ini seringkali disalahgunakan oleh penjenayah termasuk untuk pengantunan seksual.
"Platform-platform seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram, TikTok dan sebagainya, mereka tidak mempunyai sistem EKYC yang benar-benar berkemampuan.
"Jadi kita telah minta supaya mereka melaksanakan proses EKYC dengan menggunakan dokumen-dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan termasuk MyKad dan juga MyKad Passport ataupun My Digital ID. Jadi ini telah saya sampaikan dalam pertemuan dengan syarikat-syarikat platform-platform media sosial", katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Bulan September 2025.
Datuk Fahmi berkata meskipun penyedia platform media sosial mengehadkan pendaftaran pengguna bawah umur 13 tahun bagaimanapun, masih ada kes kanak-kanak yang memiliki akaun sendiri.
Jelasnya, situasi seumpama itu membuka ruang kepada risiko jenayah dalam talian terhadap kanak-kanak.
Beliau berpandangan pelaksanaan eKYC ini sebagai satu mekanisme bagi menangani pendaftaran pengguna media sosial bawah umur.