fb fb fb fb fb

Hubungan ASEAN dengan rakan dagang perlu diperkukuh

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 September – Malaysia menegaskan kepentingan ASEAN dalam memperkukuh hubungan dengan rakan-rakan antarabangsa ketika dunia sedang berdepan perubahan ketara dalam tatanan perdagangan dan keselamatan global.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, ia memandangkan landskap ekonomi dan politik dunia kini mengalami perubahan besar yang membentuk semula hala tuju antarabangsa.

“Dunia kini sedang berdepan perubahan. Apa yang kita anggap sebagai kebiasaan atau perkara asas selama ini kini berubah dengan pantas. Justeru, perbincangan bersama rakan-rakan seperti Korea, China, Jepun (ASEAN+3) dan Amerika Syarikat amat bernilai kerana ia memberi kefahaman jelas mengenai pandangan mereka dan bagaimana kita boleh membentuk kerjasama yang saling menguntungkan,” katanya kepada media selepas menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan di Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57.

Beliau menambah, pertemuan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) berlangsung dalam suasana terus terang dan konstruktif, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan hubungan yang baik walaupun berdepan cabaran perdagangan global.

Selain itu, beberapa projek khusus turut dibincangkan bersama rakan antarabangsa, termasuk aspek pelaksanaan dan garis masa, yang akan membantu memperkukuh kerjasama ekonomi serantau.

Mengulas mengenai Mesyuarat Menteri-Menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dijadualkan hari ini, beliau menegaskan Malaysia komited untuk memastikan kejayaan pertemuan tersebut serta bersedia menilai cadangan baharu yang mungkin dikemukakan.

ROSLINA BINTI DIN