fb fb fb fb fb

Operasi Bersepadu Denggi: 145 premis kediaman diperiksa di Taman Keramat

Anggota MPAJ dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak melakukan pemeriksaan di premis kediaman

AMPANG, 25 September - Sebanyak 145 premis kediaman diperiksa dalam Operasi Bersepadu Membasmi Denggi di Apartment Berembang Indah, di sini.

Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa mengesan 16 lokasi pembiakan aedes, sekali gus mengeluarkan empat notis pembersihan dan tiga kompaun bernilai RM1,000 setiap satu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Hasrolnizam Shaari berkata, selain pemeriksaan rumah, enam premis makanan dan kedai runcit turut diperiksa dengan tujuh kompaun dikeluarkan atas kesalahan kebersihan, kewujudan lipas, lalat dan tikus serta tiada suntikan typhoid.

"Operasi ini berdasarkan maklumat dan data semasa yang mana diperingkat MPAJ memang kita sentiasa menguruskan secara rapat isu persekitaran dan kesihatan.

"Kita mendapati ada satu kawasan permasalahan denggi yang perlu diberikan perhatian segera, iaitu di Pangsapuri Berembang Indah, berdasarkan rekod semasa tempoh wabak ini telah pun sampai ke peringkat lebih daripada 45 hari dan juga kes yang dicatatkan sehingga ke hari ini adalah sehingga 7 kes, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan Operasi Bersepadu di Taman Keramat.

MPAJ turut menyita tujuh kenderaan lama yang ditinggalkan di kawasan tersebut kerana dikhuatiri menjadi punca pembiakan nyamuk aedes.

Operasi bersepadu ini disertai lebih 120 anggota melibatkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, DBKL, KDEB Waste Management serta polis dari IPD Ampang Jaya.

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN