fb fb fb fb fb

Pengerusi parti politik, tiga lagi didakwa memperdagangkan manusia

(Tertuduh kes memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi) 

BUTTERWORTH, 23 November- Pengerusi parti politik Penang Front Party (PFP) dan tiga individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Buttterworth dengan sejumlah 30 pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja membabitkan 10 mangsa warga tempatan sejak Februari lalu.

Datuk Ooi Khar Giap, 55, dan tiga lagi tertuduh, iaitu Chye Lay Hoon, 52; Lim Yong Choon, 47 dan Woong Chew Hoe, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, Khar Giap yang juga pengarah sebuah syarikat, dan Lay Hoon sebagai Pengurus Sumber Manusia didakwa mencapai niat bersama memperdagangkan 10 mangsa di sebuah premis di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat dalam daerah Seberang Perai Selatan, antara 14 Februari hingga 27 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, dua pekerja kepada pengarah syarikat tersebut iaitu Yong Choon dan Chew Hoe mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan bersubahat bersama-sama dua tertuduh dengan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja di lokasi dan tarikh sama.

Kedua-dua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 12 ATIPSOM yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali dan kesemua tertuduh diwakili peguam Teh Yi Kai dan Pang Chuin Keat.

Noor Aini kemudian membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin dengan nilai keseluruhan berjumlah RM362,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Mereka juga dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

(Empat tertuduh kes memperdagangkan manusia dihadapkan
ke Mahkamah Sesyen Butterworth)

Media Baharu