fb fb fb fb fb

Pengerusi JPKK salah guna kuasa akan didakwa - KPLB

(Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud turut hadir pada program
 Kempen Penanaman 100 juta pokok di sekitar Bandar Lipis)

LIPIS, 14 Ogos- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tidak akan berkompromi dengan mana-mana kes rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Mereka yang salah guna kuasa di peringkat JPKK harus didakwa kerana mereka pecah amanah dan melanggar peraturan watikah lantikan.

Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad menegaskan tindakan segelintir pengerusi JPKK yang terpalit dalam kes penyalahgunaan kuasa bukan sahaja memberi imej negatif terhadap jawatankuasa itu.

Malah, ia turut memberi kesan kepada pembangunan sesebuah kampung apabila dana peruntukan pembangunan kampung itu diseleweng.

"Kita sudah beri kepercayaan sepenuhnya, kita dah bagi watikah dan elaun, agar mereka dapat jalankan tugasan di kampung tetapi jika ada gangguan seperti itu yang menyebabkan kerancakkan pembangunan di kampung membuatkan usaha-usaha kita terbantut, tindakan perlu dikenakan ke atas mereka," katanya.

Datuk Sri Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan JPKK Negeri Pahang yang disiarkan dalam beberapa portal berita baru-baru ini.

Laporan itu turut memetik perangkaan daripada Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Nor yang menyatakan SPRM menerima sejumlah 21 maklumat dan aduan melibatkan JPKK Negeri Pahang dalam tempoh
lima tahun bermula 2018 yang merangkumi 14 maklumat salah guna kuasa, enam menerima rasuah dan satu tuntutan palsu.

Daripada jumlah itu satu kes telah dituduh di mahkamah, dua kes masih dalam siasatan, lima kes menerima surat untuk memperbaiki kelemahan prosedur JPKK, manakala 13 kes tiada tindakan lanjut.

Terdahulu, Datuk Seri Abdul Rahman merasmikan Kempen Penanaman 100 juta pokok di sekitar Bandar Lipis anjuran Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Lebih 30 anak pokok jenis Tekoma ditanam sekitar bandar Lipis, dalam usaha menjayakan agenda nasional negara iaitu penanaman 100 juta pokok.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.


(Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad)

Media Baharu