fb fb fb fb fb

Pengeluaran khas KWSP kerana banjir, akan memberi impak kepada pasaran bon dan saham negara

KUALA LUMPUR, 3 Januari - Pengeluaran khas KWSP kerana banjir, sekiranya dilaksanakan akan memberi impak kepada pasaran bon dan saham negara, kata Penganalisis Korporat dan Perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik.

Meskipun ia merupakan hasil caruman para pencarum itu sendiri, namun ia bercanggah dengan mandat yang diamanahkan kepada institusi tersebut iaitu menjamin simpanan persaraan pekerja.

"Pengeluaran ini secara tidak langsung akan memaksa KWSP melupuskan pelaburan, dan ianya akan memberikan impak susulan kepada pasaran bon dan saham negara.

"RM270 billion yang boleh dikeluarkan oleh ahli yang berumur lebih 55 tahun dan pengeluaran ini juga akan menjejaskan kecairan, dan ini perlu diperhalusi oleh kerajaan dalam mengimbangi tuntutan ini kerana sudah pasti akan ada kesan jangka pendek terhadap keputusan ini ", kata Faisal ketika ditemu bual menerusi panggilan video bersama RTM

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata masih terdapat langkah alternatif yang boleh dimanfaatkan kerajaan bagi membantu kumpulan yang terkesan tanpa perlu 'mengusik' dana persaraan mereka.

Antaranya, pakej kewangan tanpa faedah yang boleh ditawarkan menerusi institusi kewangan masing-masing.

"Bagaimana kita boleh mampu membantu mangsa banjir, mangsa pandemik adalah melalui bantuan bantuan daripada kerajaan yang sedia ada melalui pelbagai stimulus ataupun pakej ransangan dan juga bajet 2022", kata Dr. Ahmed Razman kepada wartawan di ibu negara.

KWSP sebelum ini memaklumkan tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam.

 

Media Baharu