fb fb fb fb fb

Siren amaran banjir tidak berfungsi, Kerajaan Negeri arah JPS Negeri Sembilan siasat dakwaan penduduk


PORT DICKSON, 3 Januari
- Kerajaan Negeri mengarahkan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan menyiasat dakwaan penduduk di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas berhubung siren amaran banjir yang dipasang tidak berfungsi dalam kejadian banjir di kawasan itu.

Ia sehingga menyebabkan penduduk terpaksa berpindah sehelai sepinggang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkara tersebut akan diteliti kerana kemungkinan hujan yang berlaku pada Sabtu lalu agak lebat sehingga amaran siren tidak dapat didengar.

Tambahnya, kerajaan negeri telah memasang siren amaran banjir di setiap daerah selain akan menambah pemasangan siren tersebut di samping meningkatkan kekuatan bunyi siren berkenaan.

"Kita sedia maklum bahawa hujan ketika itu adalah terlalu lebat, siren itu memanglah kalau di Ampangan itu sendiri berhampiran dengan rumah pun tak dengar sebab hujan yang terlalu kuat dan kita akan siasat, mungkin kita perlu kuatkan lagi, tambah lagi ke, bagaimana keperluan tersebut " katanya pada majlis Penyerahan Borang 5A Kampung Chuah di Balai Raya Kampung Chuah, disini.

Berdasarkan maklumat JPS Negeri Sembilan, sebanyak 22 stesen siren amaran banjir telah dipasang di kawasan berisiko agar penduduk dapat menyelamatkan nyawa serta harta benda dengan lebih awal.

Setakat ini sebanyak 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Negeri Sembilan melibatkan daerah Jelebu, Tampin, Kuala Pilah dan Jempol.

Media Baharu