fb fb fb fb fb

Ban pecah di Bukit Changgang sudah diatasi tidak menyebabkan limpahan air serius

 

KUALA LANGAT, 3 Januari- Sebaik menerima laporan Jabatan Pengairan dan Saluran (JPS) Negeri Selangor telah menghantar dua jentolak ke lokasi bagi membaik pulih ban berdekatan rumah pam Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang di sini yang dilaporkan pecah, pagi tadi.

Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Azmi Ibrahim masalah tersebut yang menyebabkan limpahan air itu telah berjaya diatasi dan kesemua kerja pembaikan ban dijangka selesai petang ini.

"Memang diakui berlaku limpahan air pada pukul 10 pagi tadi disebabkan ban pecah, mungkin disebabkan paras ban menurun dan air memasuki ke kawasan kira-kira 3 hingga 4 meter. Bagaimanapun tindakan segera telah diambil oleh JPS Kuala Langat dengan menghantar jentera-jentera ke lokasi", katanya kepada wartawan di pejabatnya.

Sementara itu Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya telah menugaskan anggota di lokasi dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dengan kekuatan anggota seramai 8 orang, selain turut menempatkan aset aset yang ada.

"Kita bimbang cuaca petang ini kemungkinan air pasang besar dan hujan berdasarkan keadaan cuaca mendung, kita bimbang air di kawasan RTB Bkt. Changgang ini boleh naik semula, kita telah maklumkan kepada penduduk untuk berjaga-jaga dan kita minta mereka bersiap-sedia berpindah serta-merta, katanya yang ditemu bual wartawan RTM di lokasi kejadian.

Pagi tadi dilaporkan ban berkenaan pecah mengakibatkan air Sungai Langat mula memasuki kawasan tali air berdekatan kampung tersebut.

Penduduk mendakwa air limpahan memenuhi kawasan ladang kelapa sawit seterusnya sehingga ke kawasan penempatan.

Media Baharu