IPOH, 14 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneliti isu pengeluaran 'Fleet Card' daripada syarikat minyak terlibat, bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) supaya dipercepatkan.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan bersama-sama lima syarikat minyak utama tersebut pada Khamis ini.
Pihaknya telah meminta syarikat minyak untuk membentang kaedah penyelesaian khusus bagi syarikat yang memohon kad subsidi kategori pasca bayar.
"Kalau pra bayar tidak ada isu besar, mereka boleh mengeluarkan 'Fleet Card' segera. Isu timbul sekiranya syarikat itu memohon paca bayar. Pastinya syarikat minyak ini perlu untuk melihat kepada dokumen lampiran, status kewangan dan sebagainya. Jadi mengambil sedikit masa," kata Armizan.
Armizan ditemui media pada Majlis Perasmian Penutup Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024, di sini.
Setakat ini, kad tunai yang dikeluarkan syarikat minyak boleh digunakan kenderaan syarikat yang masih belum menerima 'Fleet Card' tersebut.
Setakat 8 Julai lalu, sebanyak 165,897 'Fleet Card' telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat yang memohon menerusi Sistem MySubsidi Diesel.
Manakala 248,887 kenderaan pengangkutan awam dan barangan telah diluluskan subsidi diesel bawah SKDS yang melibatkan 88,029 syarikat setakat 14 Julai lepas.