fb fb fb fb fb

Pengeluaran akuakultur di Selangor catat RM1.25 bilion

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Datuk Seri Mohamad Sabu menunjukkan kemahiran menebar jala pada program lawatan ke ladang pembenihan dan ternakan ikan air tawar ARC Berkat Agrofood Sdn Bhd di Rawang / BERNAMA

RAWANG, 21 Januari- Sebanyak 90,800.05 tan metrik yang bernilai RM1.25 billion hasil dicatatkan daripada pengeluaran akuakultur di Selangor dari tahun 2020 sehingga tahun 2023.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 19,279.33 tan metrik direkodkan daripada penternakan air tawar melibatkan 147 penternak.

Menerusi penternakan air payau, sebanyak 2,543.40 tan metrik dicatatkan dengan 183 penternak.

Manakala penternakan ikan hiasan mencatatkan pengeluaran 546,438 ekor melibatkan 18 penternak dan 30 penternak bagi 155,226,208 benih kerang.

"Kita semakin menghampiri kepada SSR (kadar sara diri) melalui tangkapan ikan air tawar dan hasil laut yang bertambah.

"Pada masa sama, kita harus teruskan kempen makan ikan air tawar bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tangkapan laut, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat dan meluang masa hampir tiga jam di pusat penternakan ikan air tawar ARC Berkat Agrofood Sdn Bhd sempena program Santai Akuakultur Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Media di Selangor.

Hulu Selangor menjadi daerah tertinggi bagi pengeluaran ikan keli iaitu sebanyak 10,170.11 tan metrik dengan nilai RM57,969, 604.43

Manakala daerah Hulu Langat mencatatkan pengeluaran tertinggi bagi ikan tilapia iaitu 2,913.88 tan metrik dengan nilai RM 40 175 566.00 dan daerah Gombak merekodkan pengeluaran benih ikan keli tertinggi iaitu sebanyak 89,280,600 tan metrik dengan nilai RM 8,321,140.00.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE