fb fb fb fb fb

Cadangan pembinaan loji janakuasa Labuan akan dibawa ke Kabinet 24 Januari

Datuk Seri Fadillah ketika melawat projek penggantian paip di tangki agihan utama air di Pulau Enoe di sini hari ini.

LABUAN, 21 Januari- Cadangan pembinaan loji janakuasa baharu oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk menangani gangguan bekalan elektrik berterusan di pulau bebas cukai ini akan dibincangkan semasa mesyuarat Kabinet pada 24 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan loji janakuasa itu diterajui oleh Petronas, ialah usaha sama dengan Suruhanjaya Tenaga Sabah (SEC) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

"Nanti baru kita akan muktamadkan. Insya-Allah dalam minggu depan ini akan dibincangkan di peringkat kabinet untuk diluluskan, diikuti dengan langkah seterusnya iaitu pasukan teknikal akan berusaha untuk memuktamadkan Surat Hasrat (LoI)," katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata projek itu dijangka siap pada 2027. 

Ujarnya lagi pasukan teknikal itu terdiri daripada wakil daripada Petronas, Suruhanjaya Tenaga (ST), SEC, SESB dan beberapa agensi kerajaan Sabah yang berkaitan.

"Matlamatnya adalah untuk memastikan projek yang dimuktamadkan itu merangkumi pertimbangan pengedaran, penjanaan dan permintaan.

"Menurut Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman, Labuan memerlukan sekurang-kurangnya 150 megawatt, tetapi loji sedia ada mempunyai kapasiti 130 megawatt," katanya kepada pemberita selepas melawat projek penggantian paip di tangki agihan utama air di Pulau Enoe di sini hari ini.

Beliau berkata jika bekalan kuasa terbukti mencukupi untuk Labuan, ia berpotensi diperluas untuk manfaat Sabah.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI