fb fb fb fb fb

Kementerian Digital sudah kenal pasti agensi bawah naungannya

Gobind Singh ditemui media selepas sambutan Pesta Ponggal anjuran Persatuan Komuniti India di Damansara

KUALA LUMPUR, 21 Januari- Menteri Digital, Gobind Singh Deo memaklumkan pihaknya telahpun mengenal pasti agensi yang terletak bawah bidang kuasa kementerian itu.

Jelasnya, perjumpaan dengan kesemua agensi itu juga telah dibuat bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut.

"Kita telah rancangkan satu sidang akhbar untuk memberitahu apakah sebenarnya agensi yang terletak bawah kementerian kita dan sebagai kementerian yang baharu apakah langkah-langkah kita untuk ke depan serta hala tuju untuk lima tahun akan datang. Jadi, kita akan panggil sesi khas untuk tujuan tersebut dalam masa terdekat,"katanya.

Beliau ditemui media selepas sambutan Pesta Ponggal anjuran Persatuan Komuniti India di Damansara, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Damansara, kembali menganggotai Jemaah Menteri setelah dilantik memegang portfolio Kementerian Digital dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan Disember tahun lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE