fb fb fb fb fb

Malaysia dominasi 45% Pasaran Sukuk Global, perkukuh status peneraju kewangan Islam dunia

Foto JAKIM

KUALA LUMPUR, 20 November - Kedudukan negara sebagai peneraju kewangan Islam moden di dunia terus diperkukuh apabila mendominasi 45 peratus pasaran sukuk global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata pencapaian yang memberangsangkan itu turut merangkumi Perbankan dan Pasaran Modal Islam.

"Perbankan Islam kini menyumbang 46.6% daripada keseluruhan pembiayaan negara, manakala pasaran modal Islam bernilai RM2.63 trilion, iaitu 62% daripada keseluruhan pasaran modal Malaysia. Ini membuktikan kepimpinan Malaysia yang konsisten, berteraskan dasar yang jelas, bakat bertaraf dunia dan komitmen politik yang teguh,” katanya di sini.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam ke-18 bersempena Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) kali ke-20.

Datuk Dr. Mohd Na’im turut menegaskan bahawa keutuhan kewangan Islam di negara ini bukanlah berlaku secara kebetulan, sebaliknya ia didorong oleh peranan besar para Penasihat Syariah yang bukan sahaja bertindak sebagai penyemak hukum, malah sebagai penjaga integriti bagi memastikan setiap produk, instrumen dan inovasi terus berpaksikan prinsip-prinsip Islam.

Beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam Malaysia (ASAS).

Antara topik utama perbincangan Muzakarah itu, ialah Trend Terkini dan Ketetapan Syariah bagi Kewangan yng lestari serta isu-isu syariah dalam kes-kes Pertikaian Perundangan Berkaitan Kewangan Islam.

EZA YUSMAWATI YAACOP