KUALA LUMPUR, 12 Julai – Keputusan kerajaan memberi pengecualian pelaksanaan waktu kerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disifatkan sebagai inisiatif penting ke arah meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal petugas kesihatan.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Saaidah Athman menyifatkan keputusan tersebut mampu meningkatkan motivasi petugas barisan hadapan selain menjamin tahap optimum perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Saya percaya dengan pengumuman ini, jururawat di seluruh negara akan lebih bersemangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik.
“Ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi RTM.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Saaidah Athman / Foto RTM
Sementara itu, Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) dalam satu kenyataan menyambut baik keputusan berkenaan dan menyifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap komitmen tinggi petugas kesihatan yang bekerja dalam sistem syif.
“MNA menyambut baik dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengumuman bersejarah ini. Ia mencerminkan kesedaran kerajaan bahawa sistem syif memerlukan fleksibiliti dan sokongan yang mampan.
“MNA juga ingin menegaskan bahawa kelangsungan sistem syif yang efisien perlu disokong dengan penambahan sumber manusia serta persekitaran kerja yang kondusif agar mutu penjagaan pesakit tidak terjejas," menurut kenyataan itu.
MNA turut bersedia untuk bekerjasama dengan KKM bagi memantau pelaksanaan pengecualian tersebut secara berperingkat dan memberi input profesional demi kesejahteraan bersama.
Semalam, kerajaan bersetuju untuk mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi lima skim perkhidmatan kritikal KKM, sekali gus memberikan pengecualian daripada pelaksanaan syif 45 jam seminggu.
Pengecualian itu melibatkan 82,637 petugas barisan hadapan merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan serta pembantu perawatan kesihatan.
Keputusan itu dibuat setelah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil kira kebimbangan yang dibangkitkan oleh petugas kesihatan terhadap pelaksanaan waktu kerja baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).