KUALA LUMPUR, 12 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan kerajaan kekal komited menyelesaikan isu pelantikan doktor secara kontrak dan sedang berusaha mempercepat proses penyerapan mereka ke dalam perjawatan tetap.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjelaskan dasar pelantikan kontrak yang mula dilaksanakan sejak 2016 hanyalah bersifat sementara (interim) dan kini berada di fasa akhir pelaksanaan.
“Saya tegaskan, dasar kontrak ini adalah bersifat interim sejak mula diperkenalkan. Kini kita sudah sampai ke fasa akhir, dan kerajaan komited untuk menamatkan kaedah ini dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan anjuran KKM di ibu negara.
Menurut beliau, KKM sedang bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mempercepat proses penempatan tetap bagi pegawai perubatan kontrak, sebaik sahaja kekosongan jawatan dikenal pasti.
Langkah itu dilihat penting dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan negara serta menjaga kesejahteraan dan motivasi warga kerja sektor kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad / Foto RTM
Dalam perkembangan lain, Dr. Dzulkifly berkata KKM tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam kes sitaan aset membabitkan sebuah hospital swasta di Bangi, susulan keputusan mahkamah melibatkan tuntutan kecuaian perubatan berjumlah RM8.32 juta.
Katanya, keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan semua pesakit dipindahkan ke fasiliti kesihatan lain dengan selamat dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan oleh mahkamah.
"Kita mahu proses pemindahan pesakit dilakukan secara baik dan berkesan bagi memastikan continuity of care terjamin, khususnya bagi pesakit kritikal, kes kebergantungan tinggi dan mereka yang menjalani rawatan jangka panjang.
“Ini sangat penting agar rawatan pesakit tidak terjejas atau terkompromi,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan kes tersebut adalah tindakan sivil melalui proses mahkamah dan tiada sebarang penglibatan atau campur tangan daripada pihak kementerian.
Namun begitu, beliau mengingatkan semua pengendali hospital swasta agar sentiasa mematuhi peruntukan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
“Walaupun kementerian tidak terlibat dalam isu liabiliti korporat atau kebankrapan, KKM tetap bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pesakit terus terpelihara,” katanya lagi.
Terdahulu, hospital terbabit dikenakan writ penyitaan dan penjualan selepas gagal membayar pampasan sebanyak RM8.32 juta dalam satu kes kecuaian perubatan yang diputuskan oleh mahkamah.
Hospital itu diberi tempoh sehingga 23 Julai ini untuk menjelaskan bayaran, sebelum barangan yang disita diperintahkan untuk dilelong.