fb fb fb fb fb

Pengecualian SST buah import legakan rakyat

FOTO HIASAN

GEORGE TOWN, 26 Jun- Susulan pengumuman kerajaan memberikan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap beberapa buah-buahan import seperti epal dan oren, rata-rata pengguna menyambut baik langkah tersebut yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam memelihara kesejahteraan rakyat.

Tinjauan RTM di sekitar Pulau Pinang mendapati pengguna berpuas hati dengan inisiatif berkenaan yang dianggap dapat menggalakkan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut Saifhul Izham Norshimi, langkah pengecualian tersebut memberi isyarat jelas kerajaan mula menumpukan perhatian terhadap keperluan asas rakyat, terutama dari segi pemakanan sihat.

"Bila kita dapat pengecualian SST untuk buah epal dan oren ini, diharapkan lebih banyak rakyat Malaysia akan membeli buah-buahan berkhasiat yang menambahkan vitamin dalam badan.

"Ini langkah pertama yang baik. Kita doakan akan ada buah-buahan lain, termasuk buah tempatan, yang turut dikecualikan cukai selepas ini,” katanya.

Bagi Muhammad Farizuan Nazri Ahmad Azni, pengecualian SST membolehkan pengguna membuat pembelian tanpa perlu terlalu memikirkan soal kos tambahan.

“Boleh beli banyak. Sebelum ini pun, nak beli kena fikir juga bajet. Sekarang bila tiada cukai, rasa lega dan boleh beli tanpa ragu-ragu. Saya harap langkah ini diteruskan. Kita perlukan buah-buahan sihat sekarang sebab makanan tular sekarang banyak yang tinggi gula.”

Peniaga, Ee Beng Keat turut menyambut baik langkah kerajaan itu yang secara langsung membantu menstabilkan harga jualan dan menggalakkan pembelian.

“Cukai tiada, kita gembira. Harga boleh kekal murah, tidak perlu naik. Orang ramai pun lebih suka beli bila harga mampu milik. Ini langkah yang bagus untuk semua.”

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu pengumuman memaklumkan bahawa kerajaan akan memberikan pengecualian SST ke atas beberapa jenis buah-buahan import tertentu seperti epal dan oren.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, mempunyai akses terhadap pilihan makanan sihat dan berkhasiat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE