fb fb fb fb fb

Kebajikan ekonomi gig terus diperkasa, fokus kepada penghantar makanan

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersama Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia Tan Ming Luk menyampaikan hadiah berupa Pakej Umrah kepada tiga penghantar makanan (rider) Foodpanda yang memenangi program Foodpanda Durian Runtuh 2.0: Anugerah Hero Tapau di ibu negara. \ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Kebajikan pekerja dalam sektor ekonomi gig, khususnya penghantar makanan akan terus diberi perhatian melalui pelbagai inisiatif baharu, termasuk penyediaan pakej internet mampu milik yang bersesuaian dengan keperluan kerja harian mereka.

Sehubungan itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi merangka pelan yang dapat memberikan manfaat kepada golongan tersebut.

"Kita harap nanti ada pakej-pakej yang lebih baik untuk para penghantar makanan. Bukan hanya isu kebajikan tapi juga isu masa depan yang merupakan antara perkara yang paling penting. Saya sebelum ini pernah menegur bila berlaku sebarang bentuk kemalangan kadang kadang pihak syarikat (bukan Foodpanda) yang tidak peduli tentang kebajikan pekerja mereka. Tetapi dengan adanya caruman Perkeso sekarang ini boleh memberikan kita lebih banyak caruman insurans yang memastikan kita mendapat kebaikan dan juga perlindungan pada setiap waktu." katanya selepas merasmikan program 'Durian Runtuh 2.0-Anugerah Hero Tapau' di ibu negara.

Beliau turut menyeru syarikat-syarikat penghantaran seperti Foodpanda agar bekerjasama rapat dalam memastikan inisiatif yang dirangka benar-benar memberi impak positif dan berterusan kepada para penghantar makanan.

Majlis tersebut turut menyaksikan 199 penghantar makanan menerima penghargaan, termasuk tiga pemenang utama yang membawa pulang pakej Umrah tajaan penuh bernilai lebih RM100,000.

SITI NOORAIN ABDULLAH