fb fb fb fb fb

1,000 jemaah imarahkan Majlis Doa Akhir dan Awal Tahun 1447H di Masjid Negara

Doa akhir dan awal tahun dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara, Sahibus Fadhilah Ehsan Mohd Hosni

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Hampir 1,000 jemaah hadir mengimarahkan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun 1447 Hijrah yang berlangsung penuh khusyuk di Masjid Negara, malam ini.

Doa akhir dan awal tahun dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara, Sahibus Fadhilah Ehsan Mohd Hosni, sejurus masuk waktu solat fardhu maghrib.

Majlis turut diserikan dengan solat hajat dan bacaan Surah Yasin, memohon keberkatan dan perlindungan daripada Allah SWT agar negara sentiasa berada dalam keadaan aman, sejahtera dan diberkati.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Timbalan Menteri, Dr. Zulkifli Hasan, serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Tema sambutan Maal Hijrah tahun ini, “Membangun Ummah MADANI”, mengajak umat Islam menghayati ibrah daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW, khususnya dalam membentuk masyarakat yang bersatu, berdaya saing dan berakhlak tinggi.

Naratif tersebut sejajar dengan aspirasi ‘Islam Mekar di Bumi Malaysia’ yang menekankan tanggungjawab bersama dalam memartabatkan kedudukan Islam di tanah air.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H akan berlangsung esok, 27 Jun, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV1, semua stesen radio RTM, serta platform digital RTMKlik bermula pukul 9.00 pagi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE