KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kerajaan bercadang memberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun kepada syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tempoh permohonan galakan cukai itu akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030.
"Syarikat sedia ada yang membuat projek pembesaran diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh lima tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Kerajaan bercadang galakan cukai automasi sektor pertanian bagi penanaman, penternakan, apikultur, akuakultur dan perikanan laut dalam turut diperluas kepada penternakan haiwan terpilih secara sistem reban tertutup.
Selain itu Agrobank menyediakan pembiayaan RM1.1 bilion ringgit untuk usahawan mengembangkan perniagaan serta menyokong automasi dan mekanisasi dalam projek pertanian.
"Program Agropreneur NextGen KPKM menyediakan geran permulaan dan geran pengembangan projek pertanian dengan dana RM20 juta," katanya.