KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kesemua sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) kini menjalani pemeriksaan kesihatan dan perubatan di Istanbul, selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), kesemua mereka telah dibawa keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan tiba di Istanbul, Turkiye pada pukul 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia).
“Kesemua mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan perubatan di Istanbul sebelum kembali ke Malaysia dalam masa beberapa hari akan datang,” kata Wisma Putra.
Wisma Putra turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Turkiye serta semua rakan kerjasama antarabangsa atas sokongan dan fasilitasi yang membawa kepada pembebasan serta penghantaran pulang rakyat Malaysia dengan selamat dan segera.
Terdahulu, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), memaklumkan pihaknya menerima pengesahan rasmi daripada Wisma Putra berhubung ketibaan kumpulan aktivis berkenaan.
“MyCARE telah menghantar wakil ke Istanbul bagi menyambut kepulangan sembilan aktivis yang menyertai misi kemanusiaan ini,” menurut kenyataan MyCARE.
Sembilan delegasi Malaysia yang terlibat ialah Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Maziah Muhammad, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, serta wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil.