fb fb fb fb fb

Pengecualian bayaran sewa, pengusaha kantin lega kerajaan ambil peduli

KUALA LUMPUR, 12 Januari - Seramai 10,200 orang pengusaha kantin di seluruh negara kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memberi pengecualian bayaran sewa selama enam bulan, bermula bulan ini.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Siti Normah Desa berkata keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pengusaha kantin mampu meringankan beban mereka.

Jelasnya, pelbagai cabaran dihadapi pengusaha berikutan kantin tidak beroperasi sepanjang Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi tempoh pandemik COVID-19.

"Jadi dengan keadaan sekarang juga selepas pada awal tahun 2020 kenaikan harga barang meningkat.

"Harga makanan mereka jual di kantin tak boleh bawa modal pun sebenarnya, mereka menggunakan harga pada tahun lepas.

"Itu pun saya harap pihak kerajaan pandang serius mengenai kenaikan harga barang terutama barangan yang dibeli oleh pengusaha kantin," katanya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Ahad lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pengusaha kantin dan pelbagai premis sewaan termasuk kedai buku dan dobi dalam bangunan sekolah dikecualikan daripada bayaran sewa selama enam bulan tahun ini.

Media Baharu