KUALA LUMPUR, 12 Januari - Kerja baik pulih dan pembinaan baharu kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir di seluruh negara sedang giat dilaksanakan.
Pelaksanaan itu melalui Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib berkata, dua kementerian telah dipertanggungjawabkan iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan kerja pemulihan dan pembinaan tersebut.
"Kalau kita lihat dari segi jumlah, ada lebih 9,200 rumah yang terkesan banjir ini tetapi ia bukan jumlah yang statik. Ia akan sentiasa berubah kerana apabila kawasan banjir itu sudah selesai baru kita boleh lihat mana rumah yang rosak, mana rumah yang runtuh dan sebagainya. Setakat ini di bawah KPKT, kita ada lebih 7,000 rumah yang perlu kita ambil kira, bina baru atau baik pulih," ujarnya ketika ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri pagi tadi.